Oltmans sedia bukti tanggapan pengkritik silap

Oleh Staff Writer 17 Oktober 2019 1318
Oltmans sedia bukti tanggapan pengkritik silap
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, sedia membuktikan bahawa tanggapan ramai mengenai peluang tipis Malaysia untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai satu kesilapan.

Ia timbul selepas pemerhati hoki antarabangsa berasakan peluang Malaysia amat tipis untuk menundukkan Great Britain dalam pusingan kelayakan di London bulan depan.

Oltmans mengakui kesukaran untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia -- pasukan di ranking ke-11 dunia -- mampu menumbangkan Great Britain untuk merebut slot ke Tokyo.

Sebagai jurulatih yang mempunyai reputasi besar, dia sedar kepentingan dua perlawanan di London itu memandangkan ia merupakan tugasan sebenarnya untuk menamatkan penantian 19 tahun Malaysia ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Semua yang meminati hoki dari segenap dunia -- melainkan Malaysia -- berasakan Great Britain akan layak.

"Mujur kami berfikiran sebaliknya.

"Namun, itulah situasinya, yang turut dihadapi pasukan lain.

"Ia berdasarkan ranking dunia dan berdasarkan fakta Great Britain mara ke final Liga Profesional, anda boleh katakan yang mereka adalah pasukan pilihan.

"Biarkan mereka menjadi pasukan pilihan, tidak mengapa.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah mempersiapkan pasukan dan percaya terhadap segala kemungkinan yang kami ada," katanya.

Sebanyak 18 pemain tersenarai untuk ke London.

Ia termasuk dua muka baru, Mohd Najib Hassan dan Mohd Ashran Hamsani, sementara penjaga gol muda, Adrian Andy Albert, digugurkan.

Skuad negara akan berlepas ke Amsterdam untuk menjalani dua perlawanan pemanas badan menentang H.O.C. Gazellen-Combinatie dan HC Bloemendaal sebelum bertemu Great Britain.

"Saya tiada kuasa penuh untuk meyakinkan peminat," kata ketua pasukan, Sukri Mutalib.

"Apa yang boleh saya sampaikan, setelah kami menjalani latihan yang keras, kami perlu yakin dengan diri sendiri dan pasukan," katanya.

Sementara itu, bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, mengakui tiada kejutan dalam pemilihan pemain berkenaan, namun ia bukan bermakna taktikal Oltmans akan mudah dibaca Great Britain.

"Ia KPI (Indeks Prestasi Utama) buat Oltmans dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Kerana kita tahu kali terakhir Malaysia layak ialah di Sydney (Australia) pada 2000 dan menjelang Tokyo 2020, ia akan genap 20 tahun.

"Saya berharap pasukan negara akan layak ke Sukan Olimpik tetapi jika tidak layak, mungkin KHM boleh melakukan penilaian semula," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen