Caster Semenya beralih ke acara 200 meter menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan, berikutan perubahan peraturan yang boleh mempengaruhinya dalam misi mempertahankan gelaran 800m.

Pemain berusia 29 tahun itu meraih emas 800m dalam temasya 2012 dan 2016 yang lalu sebelum Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) memperkenalkan peraturan yang bermaksud Semenya dan atlet lain yang mempunyai perkembangan seksual berbeza, wajib mengambil ubat untuk menurunkan testosteron bagi mendapatkan kebenaran untuk bertanding dalam acara 400m dan ke atas atau perlu beralih ke jarak yang lain.

Semenya mempertikaikan pelaksanaan peraturan itu tetapi kalah ketika mencabarnya di Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) termasuk rayuan kepada Mahkamah Agung Switzerland.

Menjelang empat bulan temasya Tokyo 2020, atlet Afrika Selatan itu mendedahkan dia akan bersaing di Jepun dalam acara 200m.

"Sejak saya menonton Sukan Olimpik Beijing 2008 di televisyen, saya tahu bahawa saya mahu bersaing di peringkat Sukan Olimpik," katanya di Instagram.

"Pingat 800m antarabangsa pertama saya hadir di peringkat remaja menerusi Sukan Komanwel Remaja 2008 di India dan sepanjang 11 tahun ini, saya telah memenangi emas dalam setiap kejohanan antarabangsa utama termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Liga Berlian dan Kejohanan Afrika.

""Bagaimanapun, seperti yang anda semua tahu, saya tidak dapat bersaing dalam 800m untuk mempertahankan gelaran saya itu dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

"Impian saya selalu dan akan terus begitu untuk bersaing di peringkat tertinggi sukan jadi untuk mencapai matlamat dan mimpi saya itu, saya telah memutuskan untuk beralih kepada acara dalam 200m.

"Keputusan ini bukan mudah tetapi seperti biasa, saya akan menyahut cabaran ini dan akan bekerja keras, melakukan segala yang termampu bagi memenuhi syarat untuk layak ke Tokyo dan memberi saingan terbaik buat Afrika Selatan.

"Terima kasih kepada pasukan saya yang telah memberi sokongan sejak beberapa bulan lalu dan terima kasih juga kepada semua pihak di Afrika Selatan yang menaruh kepercayaan kepada saya dan berdiri di belakang saya."

Kelayakan ke Jepun bagi acara 200m adalah 22.80 saat manakala rekod terbaik Semenya ketika ini ialah jarak 24.26s.