Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, melaungkan amaran untuk mencabar perebutan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Trek Klasik Sydney semalam dengan catatan 2.20 meter bagi mengatasi rakan sepelatih, Lee Hup Wei.

Kejayaan Nauraj di Australia itu membuktikan dia juga antara prospek terbaik untuk layak ke temasya Tokyo 2020 secara merit.

Catatan 2.20m dalam kejohanan kedua musim itu membuktikan dia sedang meniti di landasan tepat untuk melepasi had kelayakan ke Jepun, 2.33m, atau berada dalam kelompok ranking ke-32 terbaik dunia.

Ketika ini, atlet berumur 28 tahun itu menghuni ranking ke-48 dunia menjelang tarikh tutup kelayakan yang berbaki tiga bulan lagi.

"Kejohanan amat penting buat saya dalam fasa ini kerana ia dapat membantu saya mengenal pasti aspek yang perlu ditajamkan.

"Saya percaya sudah mempunyai teknik yang betul bagi membantu saya melakar catatan yang ingin dicapai," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Emas menjadi milik atlet Australia sementara perak dimenangi Korea Selatan.

Hup Wei pula di tangga ketujuh dengan merekodkan 2.16m.

"Saya akan kembali bertanding di Brisbane pula pada 20 Mac depan.

"Dengan bantuan kewangan yang sokongan diberikan, saya harap dapat merebut tempat ke Sukan Olimpik," katanya lagi.