Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) menyenaraikan Nur Suryani Taibi, Johnathan Wong dan Bibiana Ng untuk dipertimbangkan mengisi slot peluang khas ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Menurut pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar, keputusan itu dilakukan selepas perbincangan dalaman badan induk itu.

NSAM perlu menghantar satu daripada tiga nama berkenaan kepada Persekutuan Menembak Antarabangsa (ISSF) selewat-lewatnya 15 Januari depan.

"Kami sedang melihat kepada slot laluan khas.

"Kami akan dapat satu (slot) dan berbincang untuk menentukan siapa yang akan dihantar (ke Tokyo).

"Suryani dan Johnathan sudah ada pengalaman dan Bibiana belum pernah pergi.

"Jadi, kami perlu memikirkan banyak faktor," katanya ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Menembak Selangor (SSA) di Lapang Sasar Subang hari ini.

Skuad negara gagal merebut slot automatik ke temasya itu selepas beraksi hambar dalam Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar awal bulan ini.