Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengeluarkan kritikan negatif terhadap badan sukan itu mengenai peranannya dalam penyertaan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Beliau berkata dengan ancaman wabak COVID-19 yang telah menjejaskan program latihan atlet dan jadual acara sukan hampir di seluruh dunia, lebih baik jika pihaknya diberi pandangan atau kritikan konstruktif.

Merujuk kepada kritikan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, yang mempersoalkan tindakan MOM menyatakan sokongan untuk meneruskan Sukan Olimpik, Mohamad Norza berkata ia bukan masa untuk mencari publisiti.

“Kita perlu faham bahawa fungsi MOM, yang mempunyai hak dalam pemilihan atlet ke temasya sukan. Keputusan penganjuran Sukan Olimpik adalah hak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan kami sebagai ahli gabungan IOC menghormati keputusan mereka dan tidak patut masuk campur hak orang lain.

“Sebab itu semua negara beri kepercayaan kepada IOC untuk meneruskan penganjuran. Sudah pasti keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai kita menjadi keutamaan MOM. Sekiranya keadaan tidak pulih dan membawa risiko kepada keselamatan atlet, kita tidak mungkin akan menyertai Olimpik.

“Tetapi apa jua keputusan kami akan putuskan selepas perbincangan dengan pemegang berkepentingan iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya.

MOM sebelum ini bersetuju untuk meneruskan Sukan Olimpik seperti yang dijadualkan bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan ketika persidangan video bersama IOC dengan semua 45 Jawatankuasa Olimpik Nasional di Asia.

Mohamad Norza berkata Presiden IOC, Thomas Bach, menyatakan bahawa pelan untuk menangguhkan atau membatalkan Sukan Olimpik tiada dalam perancangan mereka.

Mohamad Norza berkata apa yang menjadi kerisauan MOM sebelum ini ialah hanya 12 atlet negara yang telah layak ke temasya terbesar dunia itu tetapi IOC berkata akan membuat perubahan dalam sistem kelayakan.

Beliau berkata MOM menjangkakan di antara 30 hingga 32 atlet negara akan beraksi di pentas Sukan Olimpik dalam usaha merealisasikan misi memburu emas pertama negara.

-- BERNAMA