Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, tekad membalas kepercayaan kepada Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi tumpuan terhadapnya dengan meraih sebutir pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Itu luahan pemanah berusia 28 tahun yang beranggapan ini mungkin penampilan terakhirnya dalam Sukan Olimpik sekaligus mahu memastikan kilauan pingat dalam tangan.

Khairul kini fokus untuk tugasan pertamanya tahun ini apabila bersaing dalam Kejohanan Asia yang berlangsung di Bangkok, bulan depan.

Atlet kelahiran Terengganu itu yang bakal menjalani latihan di Korea bermula bulan depan, lega dengan usaha NAAM dan MSN dalam menyuntik motivasinya melakukan yang terbaik untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya sangat gembira di atas tumpuan yang diberikan oleh NAAM dan MSN dalam membantu saya untuk menghadapi Sukan Olimpik," kata Khairul.

Sementara itu, Khairul turut bersedia membantu rakan seperjuangan memburu satu lagi slot menerusi acara berpasukan pada penglibatan dalam Piala Dunia, Berlin Jun ini.

"Saya berharap kami sepasukan dapat memberikan tumpuan ketika melakukan panahan bagi mengelak daripada sebagai kehilangan mata."