Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mengumumkan pelan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal menjadi titik kebangkitan sukan negara selepas kegagalan mencapai sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA Ke-30.

Beliau sudah mengarahkan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjalankan kajian terperinci mengenai keperluan atlet layak ke Tokyo, keperluan mikro dan kebajikan mereka.

Laporan bulanan perlu diserahkan kepada jawatankuasa pemandu Program Podium untuk memastikan sokongan terbaik dalam misi buru emas sulung Olimpik.

Langkah tersebut akan dilaksanakan segera memandangkan Sukan Olimpik Tokyo berbaki tujuh bulan sahaja lagi.

"Kami akan memantau setiap sasaran yang perlu dicapai sepanjang persiapan atlet ke Sukan Olimpik bagi mengelak sebarang kejutan. Jika bantuan diperlukan, mereka akan diberikan keutamaan bagi mencapai misi yang telah ditetapkan," kata Syed Saddiq.

Sementara itu, MSN akan menghantar surat tunjuk sebab kepada 13 persatuan sukan kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat di Filipina.

Ia bagi mencari punca kegagalan yang menyaksikan kontinjen negara meraih tangga kelima keseluruhan dengan 56 emas.

"Buat masa ini, kami telah bertemu dengan banyak persatuan sukan untuk memahami mereka. Ada yang menyalahkan faktor cuaca, fasiliti serta kesediaan pihak penganjur, namun ia bukanlah alasan yang harus digunakan untuk menentukan sama ada kontinjen negara gagal dalam Sukan SEA," tambahnya.