Juni ketepi kesedihan ketika raih tiket ke Tokyo

Oleh Staff Writer 22 Disember 2019 137
Juni ketepi kesedihan ketika raih tiket ke Tokyo
Pelayar negara, Juni Karimah Noor Jamali, sanggup mengetepikan kesedihan ekoran kematian datuk sehari menjelang Kejohanan Pelayaran Asia di China yang menyaksikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara international 470 wanita.

Nuraisyah Jamil dan Juni tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 hari ini dengan sambutan sederhana.

Gandingan negara itu layak ke Tokyo selepas meraih tangga kelima international 470 wanita, mengatasi Singapura dan Thailand yang turut memburu tiket sama.

Kejayaan tersebut cukup bermakna untuk Juni yang tidak dapat menahan kesedihan kerana kematian datuknya ketika menggalas tugas negara.

"Hari pertama saya menjalani latihan di sana, saya telah kehilangan datuk saya dan ia merupakan sesuatu yang menyedihkan kerana beliau sentiasa menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya," katanya.

Sementara itu, kejayaan itu cukup bermakna untuk Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) yang dikritik hebat selepas gagal meraih sebarang pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, 30 November-11 Disember lalu.

Malah, tiket Olimpik lebih penting berbanding emas Sukan SEA.

"Apa yang diharungi dalam Sukan SEA amat mengecewakan tetapi kebangkitan yang dipamerkan oleh dua atlet ini adalah penyelamat musim sukan pelayaran negara," kata jurulatih 470 negara, Sahir Kadir.

"Kita menyasarkan kelayakan ke Tokyo dalam satu lagi acara, iaitu RS:X, dan berharap segalanya berjalan seperti apa yang telah dirancang," kata Ketua Pegawai Operasi MSA, Mazlan Othman.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen