Gimnas negara buru satu lagi tiket

Oleh Staff Writer 10 Januari 2020 104
Gimnas negara buru satu lagi tiket
Ujian getir buat gimnas negara, Tan Fu Jie dan Tan Ing Yueh, bakal bermula bulan depan apabila Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menyasar melayakkan seorang lagi atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan persekutuan itu mempunyai misi untuk melayakkan satu lagi atlet ke temasya Tokyo 2020.

Sandaran utama, Fu Jie dan Ing Yueh, bakal memulakan misi mereka bulan depan menerusi Piala Dunia FIG 2020 di Melbourne, Australia.

"Fu Jie mempunyai peluang yang lebih cerah kerana ia bukan melibatkan acara all around, sebaliknya apparatus individu.

"Bagi Ing Yueh, ia akan sukar kerana tempat kelayakan yang terhad buat sesebuah negara," kata Presiden MGF, Rachel Lau.

Beliau tidak menafikan kegagalan dalam kejohanan bulan depan akan menjejaskan peluang negara untuk meningkatkan peserta dalam Sukan Olimpik.

"Kami perlu mencari jalan sekiranya gagal layak.

"Masih ada satu lagi peluang kelayakan tetapi ia akan menjadi tipis tetapi dalam masa yang sama, mereka berdua masih muda kerana masih berumur 21 dan 22 tahun, jadi ada peluang lagi buat mereka pada masa depan," tambahnya. 

Setakat ini, hanya ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, telah melayakkan diri ke temsya di Jepun itu, sekali gus menamatkan penantian 19 tahun untuk melihat gimnas wanita negara beraksi di pentas tersebut.


Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen