Pemain tengah skuad hoki negara, Fitri Saari, menganggap cuaca sejuk mencecah tujuh darjah Celsius hanya penghalang kecil untuk Malaysia berdepan Great Britain dalam aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, November depan.

Malaysia kerap bergelut ketika beraksi dalam cuaca sejuk di Eropah.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu bakal menghadapi cabaran sama menentang Great Britain dalam dua aksi playoff yang akan menentukan peluang Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Tiada alasan patut diberikan jika mahu menamatkan penantian 20 tahun ke Sukan Olimpik.

"Saya berasakan kami perlu berada di London lebih awal untuk berlatih dan menjalankan beberapa perlawanan persahabatan bagi menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk," kata Fitri.

Skuad negara akan berlepas ke Korea Selatan, 19 September ini untuk program latihan dan aksi persahabatan.

Oltmans kemudian merancang membawa anak buahnya ke Perancis untuk beberapa siri ujian sebelum bertandang ke London.

"Jurulatih telah memberikan beberapa nasihat kepada pasukan tentang pakaian yang bersesuaian amat penting kerana ia mampu membantu setiap pemain menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di London nanti," kata penyerang negara, Shahril Saabah.