Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, tampak akur tidak dapat 'berguru' di Amerika Syarikat (AS) apabila mengakui latihan di tanah air juga mampu memberi manfaat buatnya yang dalam persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Farah Ann mencetuskan sensasi apabila melayakkan diri ke temasya Tokyo 2020.

Tiket itu hadir selepas dia cemerlang melepasi kelayakan dalam Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman, Oktober lalu.

Biarpun berhasrat menjalani latihan intensif di AS, dia bagaimanapun terpaksa akur dengan persiapan di dalam negara.

"Saya akan mengekalkan persiapan yang sama seperti saya menghadapi peringkat kelayakan.

"Saya dan jurulatih berasakan saya harus berlatih di Malaysia, saya akan mengikuti program yang sama.

"Pengorbanan saya tetap sama, memberi fokus dan berikan perhatian yang tinggi kepada sesi latihan sebab saya merupakan atlet sepenuh masa.

"Jadi, saya hanya perlu fokus untuk meraih keputusan terbaik dalam karier tahun depan," katanya selepas dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 dalam Majlis Anugerah Tahunan MOM Ke-26 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Filipina itu muncul gimnas ketiga negara yang menempah slot ke Sukan Olimpik.

Kali terakhir ia dilakukan gimnas lelaki, Ng Shu Wai, dalam Sukan Olimpik Athens 2004 dan Au Li Yen dalam Sukan Olimpik Sydney 2000.