Wabak Covid 19 terus menjejaskan sukan dunia dengan penganjuran Sukan Olimpik 2020, Julai depan juga terkesan dengan penularan wabak itu dan berkemungkinan ditangguhkan sehingga selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, dengan berkata: "IOC telah memberikan komitmen penuh untuk Sukan Olimpik diteruskan.

"Bagaimanapun, kami akan menunggu sehingga April atau Mei depan untuk melihat status Sukan Olimpik kerana terdapat kemungkinan untuk mereka berbincang bagi menunda atau membatalkannya."

Naziffuddin turut menegaskan penundaan temasya itu adalah relevan berdasarkan gelombang kedua Covid-19 yang semakin meruncing.

Pemantauan masih diteruskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berhubung situasi itu yang sedang membelenggu dunia.

Keputusan rasmi hanya akan diketahui selewat lewatnya Mei depan, sama ada penganjuran itu akan diteruskan pada tarikh asal atau sebaliknya.

"Paling lewat ialah hujung tahun ini tetapi kami tidak dapat tahu (keputusan) sehingga pengumuman IOC pada April atau Mei depan.

"Tetapi buat masa ini, mereka mahu meneruskan Sukan Olimpik seperti biasa," tambahnya.

Dalam pada itu, tidak sampai beberapa jam Menteri Olimpik Jepun, Seiko Hashimoto, mengeluarkan kenyataan bahawa temasya itu berkemungkinan ditunda, IOC menerusi jurucakapnya, Mark Adam, memaklumkan bahawa Sukan Olimpik Tokyo akan tertap diteruskan seperti jadual asal.

Ia selepas badan induk itu mendapatkan nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di bawah perjanjian penganjuran, hak untuk membatalkan temasya berkenaan tertakluk sepenuhnya oleh IOC.

"Kesimpulan mudah yang dapat saya maklumkan adalah temasya ini akan tetap diteruskan dan kami sangat yakin segala-galanya akan bermula pada 24 Julai depan.

"Selain itu, segalanya hanyalah sekadar spekulasi.

"Seperti yang saya katakan, anda boleh bertanya soalan dari apa sudut sekalipun, namun jawapan saya tetap sama," katanya.