Covid-19: Sukan Olimpik boleh tunggu -- Farah Ann

Oleh Bernama 26 Mac 2020 66
Covid-19: Sukan Olimpik boleh tunggu -- Farah Ann
Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah satu perkhabaran yang ternyata mengecewakan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang menyimpan impian beraksi di temasya itu sejak berusia lapan tahun. 

Bagaimanapun, gimnas berusia 25 tahun itu tetap akur dengan keputusan untuk menangguhkan temasya terbesar dunia itu sehingga 2021 susulan penularan wabak COVID-19, dan mengakui kebajikan atlet dan seluruh dunia menjadi keutamaan buat masa ini.

“Memandangkan apa yang berlaku sekarang, ia adalah keputusan yang betul demi kebajikan semua. Langkah ini perlu diambil untuk memastikan kita semua selamat dan sihat.

“Ia adalah baik apabila keputusan telah dibuat dan kita boleh memberi tumpuan secara fizikal dan mental untuk persiapan menghadapi temasya pada garis masa yang baharu,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo menjadi keutamaan buat gimnas negara yang bakal membuat penampilan sulung di temasya itu, selepas gagal berbuat demikian pada edisi  2016 di Rio de Janerio, Brazil.

Walau kurang berpuas hati dengan keadaan semasa yang sedikit menjejaskan program latihannya, Farah Ann bagaimanapun mengakui ia secara tidak langsung telah menjadi pembakar semangat untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu kelak.

“Saya sedikit kecewa pada awalnya kerana sepanjang tahun ini dirancang untuk Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada Julai, yang kemudiannya menjadi tanda tanya sama ada ditangguhkan atau dibatalkan.

“Dengan keputusan baharu yang dicapai, saya akan bekerja lebih keras dan melakukan persiapan lebih baik untuk temasya pada 2021 nanti,” katanya.

Farah Ann meraih slot ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman selepas mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun gimnas negara layak ke pentas Olimpik.

Temasya Sukan Olimpik 2020 dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos sebelum kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mencapai kata sepakat untuk menangguhkannya sehingga tahun depan, ekoran penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

-- BERNAMA 

Tentang Penulis

Bernama

Komen