Penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke 2021 ternyata melebarkan impian buat atlet negara yang masih mengintai slot melayakkan diri ke temasya berprestij itu dan buat atlet negara yang sudahpun layak secara merit terbukti lega apabila tempat mereka tetap dikekalkan meskipun ia ditunda ke tahun hadapan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum telah disahkan ditunda ke tahun hadapan ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.

Keadaan ini jelas memberi hikmah dan dipandang positif atlet negara apabila ia membuka peluang buat mereka untuk meneruskan pemburuan slot ke Tokyo selain berpeluang meletakkan kembali diri di prestasi terbaik,

Bagi Nauraj, yang sebelum ini bersama-sama rakan sepasukan, Lee Hup Wei, dalam persiapan menghadapi saingan kelayakan untuk menempah slot ke Sukan Olimpik, kini memperoleh masa yang lebih panjang untuk mempertingkatkan lagi mutu lompatan.

"Situasi ini memberikan peluang kepada saya untuk mempertingkatkan lagi mutu lompatan dan melanjutkan persediaan saya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik," kata Nauraj.

Bagi kata pemain beregu profesional negara, Tan Wee Kiong, "BWF telah menangguh semua pertandingan dan saingan kelayakan juga telah ditangguh. Buat masa ini, kita harus menunggu dan bersiap sedia untuk beraksi."

Sementara itu, atlet negara yang sudah layak ke Sukan Olimpik kini menarik nafas lega apabila kedudukan mereka dikekalkan walaupun temasya tersebut ditunda.

Bagaimanapun, cabaran utama yang perlu ditempuh atlet negara adalah untuk mengekalkan prestasi bagi memastikan impian memburu emas sulung negara dalam Sukan Olimpik tahun depan terlaksana.

"Sejujurnya saya lega kerana kekal beraksi dalam Sukan Olimpik. Ini adalah berita gembira buat saya," ujar penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

"Saya sangat gembira kerana kekal bersaing dalam saingan Sukan Olimpik, buat masa ini, saya hanya menjalani latihan di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan sebelum beraksi dalam kejohanan tersebut," kata penerjun negara, Leong Mun Yee.