Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meraih kata sepakat dengan Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) yang lain untuk memperbaharui sistem kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas beberapa kejohanan kompetitif terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Ia susulan kebanyakan saingan kelayakan terpaksa ditunda selain tidak sempat diadakan dalam tempoh empat bulan selepas tuan rumah, Jepun, enggan menjadualkan semula tarikh kejohanan itu pada Julai depan.

Menurut Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, sistem kelayakan itu bagaimanapun perlu dibincangkan semula oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk berlaku adil.

"57 peratus daripada atlet sudah pun mempunyai perancangan manakala 43 peratus selebihnya akan ditentukan satu persatu bergantung kepada kejohanan kelayakan yang tidak dapat diteruskan.

"Mungkin kelayakan akan berlandaskan keputusan semasa selain tidak mempunyai motif politik.

"Hanya atlet terbaik dalam kalangan terbaik yang akan bersaing," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, di Ampang selepas sesi persidangan video antara IOC dan NOC hari ini.

Begitupun, IOC tidak memberi bayangan untuk menunda tarikh Sukan Olimpik 2020.

Dalam pada itu, keputusan IOC itu menerima pelbagai reaksi daripada atlet termasuk beberapa juara Sukan Olimpik.

Sebilangan daripada mereka tidak bersetuju dengan keputusan yang diumumkan Presiden IOC, Thomas Bach, yang meyakinkan dunia betapa mereka tetap menjadikan isu keselamatan dan penjagaan kesihatan atlet sebagai keutamaan.

"Masih ada lebih empat bulan lagi penganjurannya, kami akan meneruskan tanggungjawab sebaik mungkin mengenai kesihatan atlet.

"Dua perkara asas yang sering menjadi asas kami; kesihatan atlet menjadi keutamaan selain menyumbang usaha mengekang penyebaran wabak ini dan yang kedua, melindungi kepentingan atlet dan Sukan Olimpik," kata Bach.

Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) pula tetap menyokong penganjuran temasya itu seperti yang dijadualkan.

Akibat wabak yang semakin membimbangkan, banyak kejohanan terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan, yang terkini kejohanan Euro 2020 yang akan ditunda ke tahun depan.