Covid-19: MOM bimbang jumlah atlet ke tokyo terjejas

Oleh Muzaffar Musa 5 Mac 2020 73
Covid-19: MOM bimbang jumlah atlet ke tokyo terjejas
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, bimbang jumlah atlet Malaysia yang akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, akan terjejas apabila beberapa kejohanan, termasuk yang menawarkan mata kelayakan, terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana penularan wabak Covid-19.

MOM sedang memantau penularan wabak itu, yang menjejaskan banyak kejohanan antarabangsa.

Ia memberi kesan terhadap peluang atlet negara memburu tiket ke Tokyo, terutama kejohanan di peringkat Asia.

"Sudah tentu ia sedikit-sebanyak memberi impak kepada proses kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Namun, apa yang lebih penting untuk persatuan melihat daripada segi jangka masa panjang, khususnya untuk berdepan Sukan Asia dan Sukan Olimpik 2024.

"Perkara ini saya biarkan kepada persatuan sukan untuk berhubung dengan MSN (Majlis Sukan Negara) bagi membincangkan program mereka," katanya.

MOM sebelum ini meramalkan antara 23 hingga 36 atlet akan memperkuatkan kontinjen negara dalam temasya terbesar itu.

Badan induk berkenaan turut memantau risiko gempa bumi yang dijangka melanda Tokyo ketika kebimbangan wabak Covid-19 kian meningkat.

Dalam pada itu, atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail, yang sedang memperbaiki ranking kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan kebimbangan wabak berkenaan.

Dia yang sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat bagi menjalani latihan dan kejohanan di sana bulan depan terpaksa menangguh perancangan itu.

"Kalau keadaan di sana baik, saya akan mendapatkan nasihat daripada ISN (Institut Sukan negara).

"Mereka lebih mengetahui cara pencegahan dan jika risikonya tidak tinggi, mungkin saya boleh mengambil peluang itu," katanya.

Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, pula akur dengan sebarang ketetapan yang ditetapkan MSN.

"Jika itu keputusan MSN, saya akan mengikutinya kerana ia melibatkan keselamatan.

"Bukan hanya perancangan saya sahaja, perancangan atlet lain juga pasti terjejas," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen