Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menganggarkan peningkatan kos sehingga $800 juta (RM3.4 bilion) disebabkan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mac lalu, temasya terbesar dunia itu sah ditunda ke Julai 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Lembaga eksekutif IOC semalam meluluskan plan kewangan bagi menghadappi krisis bulanan mereka sebelum Sukan Olimpik membuka tirai.

Sejumlah besar sehingga $650 juta (RM2.8 bilion) akan diperuntukkan buat IOC bagi menampung kos penganjuran temasya itu yang dijadualkan semula.

Pakej bantuan sehingga $150 juta (RM651 juta) untuk gerakan Sukan Olimpik -- termasuk persekutuan antarabangsa, jawatankuasa Sukan Olimpik nasional dan organisasi yang diiktiraf IOC -- juga telah diluluskan.

IOC menyatakan bahawa mereka "sedang menjalani proses analisis mendalam untuk menilai dan mengkaji kesan krisis Covid-19 kepada semua operasinya".

Presiden IOC, Thomas Bach, berkata: "Gerakan Sukan Olimpik menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"IOC harus mengadakan Sukan Olimpik yang ditangguhkan untuk kali pertama dan harus membantu pihak berkepentingannya menghadapi krisis global ini.

"Situasi baru ini akan memerlukan solidariti, kreativiti, tekad dan fleksibiliti kita semua. Kita semua perlu berkorban dan berkompromi. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan luar biasa.

"Situasi ini memerlukan setiap kita untuk memainkan peranan, termasuk IOC. Dengan rancangan kewangan hari ini, kita dapat menangani keperluan ini," katanya.