Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mengetepikan barisan pemain profesional selepas meraih peruntukan lebih tinggi untuk program 'Road to Tokyo' demi memastikan tiada penumpang ke Sukan Olimpik 2020.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, antara fokus utama badan induk itu dalam program Road to Tokyo itu adalah dengan membuktikan pencapaian yang berbeza daripada skuad negara berbanding dalam Sukan Olimpik yang lalu.

Tambahnya, peruntukan tersebut turut akan dimanfaatkan oleh barisan pemain profesional yang layak secara merit ke Jepun sebagai sebahagian program persiapan.

Ketika ini, peluang cerah dilihat buat pasangan beregu profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang di kedudukan ketujuh ranking Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, presiden itu mengambil langkah tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang diperoleh BAM sehingga selesai penilaian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kelak.

"Apabila kami mengatakan lapan atau 12 pemain (perseorangan atau beregu), ia termasuk juga kebarangkalian pembabitan pemain-pemain profesional.

"Contohnya beregu lelaki dan beregu campuran, kami belum tahu lagi siapakah yang akan layak memandangkan tarikh tutup kelayakan hanya akan berakhir pada April depan.

"Sesiapa yang layak sama ada profesional atau tidak, mereka akan berada bersama pasukan skuad kebangsaan seperti berlatih bersama-sama selain menikmati peruntukan itu," katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifli, di ibu kota hari ini.

Bagi membuktikan prestasi cemerlang daripada skuad badminton negara, badan peneraju badminton kebangsaan itu turut menyusun langkah dalam usaha meningkatkan sekurang-kurangnya empat lagi wakil yang akan ke Tokyo.

"Elemen yang turut akan diambil kira ialah keperluan individu kerana wakil negara tidak ramai.

"Ssaya ingin melihat pengkhususan yang menjurus kepada analisis (dan hakikat) bahawa keperluan masing-masing adalah berlainan.

"Perkara itu telah kami rangkumkan dalam satu kertas cadangan," tambahnya.

Sementara itu, pemerhati sukan negara, Haresh Deol, menjelaskan barisan atlet yang sudah layak ke temasya Tokyo 2020 seharusnya sedang menjalani persiapan terakhir dalam baki tempoh lima bulan lagi.

Baginya, persiapan dalam program berkenaan tidak boleh membuat sebarang perubahan drastik ekoran tempohnya yang singkat.

“Apa sahaja perancangan, ia harus dibuat dalam kitaran dua edisi lebih awal.

"Maksudnya, ini bukan masanya untuk bercakap tentang edisi di Tokyo, sebaliknya mengenai Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

"Program Road to Tokyo ini hanyalah suntikan semangat buat mereka sebagai persiapan terakhir.

"Jangan pula fikir program ini boleh menghasilkan keajaiban dalam tempoh yang singkat," katanya.

Mengulas lanjut tentang persiapan barisan atlet yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus, dia menganggap skuad negara perlu lebih bijak dengan merancang persiapan di laman sendiri kerana China juga pasti mengalami masalah yang lebih teruk.

"Mereka perlu mencari jalan, mungkin perbanyakkan latihan di laman sendiri.

"Apa yang pasti, atlet akan ke Tokyo.

"Apapun, kita belum pasti lagi sejauh manakah perkembangan wabak ini dalam masa terdekat."