Barisan kejurulatihan beregu lelaki negara perlu segera merencana strategi yang mampu mendukung mereka ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tatkala wakil profesional berada di landasan tepat ke temasya berprestij itu.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, mengakui kelebihan kini berpihak kepada pemain profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dengan menduduki ranking ke-10 berbanding Aaron Chia-Soh Wooi Yik di kedudukan ke-14 manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di kedudukan ke-19 dalam ranking kelayakan temasya berkenaan.

Justeru, Kenny berharap barisan kejurulatihan segera merancang strategi ampuh buat skuad negara dalam penglibatan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik.

"Kami ada strategi dan perancangan dalam setiap tindakan.

"Mereka seharusnya berfikir secara strategik dengan memastikan pemain-pemain ini menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik yang tinggi," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Skuad negara kini dalam persiapan menghadapi cabaran dalam Terbuka Denmark, diikuti Terbuka Perancis yang bermula minggu depan.

"Seperti yang kita tahu, sukan ini kadang-kadang amat kejam.

"Kita selalu bercakap tentang siapakah yang paling handal, kuat, laju dan boleh melontar lebih jauh, malangnya itulah hakikat sukan," katanya lagi.