Kejayaan mengungguli acara pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan, Isnin lalu meletakkan jaguh negara, Azizulhasni Awang, dalam zon selamat untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelumba berusia 31 tahun itu berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai raja pecut Asia buat kali ke-10.

Azizulhasni berpeluang cerah untuk ke Tokyo dalam acara keirin sebelum meraih pingat emas acara pecut yang meletakkannya di laluan mudah merebut slot acara kedua itu.

"Setakat ini, saya boleh katakan (kedudukan dalam) acara keirin agak selesa, cuma saya perlu mengekalkan prestasi dalam Kejohanan Dunia.

"Sekurang-kurangnya saya perlu berada di posisi dan ranking yang baik.

"Disebabkan saya dapat emas acara pecut dalam ACC baru-baru ini, ia memberikan mata yang banyak.

"Saya lihat ia sebagai peluang untuk menambah satu slot lagi (ke Sukan Olimpik)," katanya.

Azizulhasni akan pulang ke Melbourne bagi menjalani latihan sebelum menghadapi Piala Dunia Berbasikal Trek di Hong Kong bermula 29 November ini.

Pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman itu menyasarkan keputusan positif dalam tiga saingan Piala Dunia, iaitu di Hong Kong, Cambridge (England) dan Brisbane (Australia) untuk menempah slot ke Kejohanan Dunia di Jerman, Mac depan.

"Saya mahu fokus terhadap Piala Dunia terakhir di Hong Kong, Cambridge dan Melbourne.

"Saya mahu bersaing di sana.

"Tetapi ia untuk meningkatkan prestasi saya, terutama dalam aspek kekuatan dengan menggunakan gear yang lebih berat.

"Fokus paling utama saya adalah dalam Kejohanan Dunia," tambahnya.