Legenda sukan berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, mencadangkan Azizulhasni Awang agar meletakkan fokus kepada salah satu acara, sama ada keirin atau pecut, untuk memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Ia kerana kedua-dua acara itu mempunyai taktikal yang berbeza dan bukan mudah untuk seseorang pelumba menumpukan kedua-duanya dalam temasya besar seperti Sukan Olimpik.

Tindakan itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan kepada seseorang pelumba.

"Sebenarnya, dia masih tidak dapat berada di prestasi terbaik.

"Saya fikir, dia perlu mengurangkan sedikit tekanan.

"Saya tidak rasa dia perlu menyertai kesemua perlumbaan sehingga Sukan Olimpik.

"Kerana ada pasti tahu kejohanan yang perlu dipilih untuk mendapatkan prestasi terbaik.

"Kerana jika menyertai terlalu banyak kejohanan, ia juga tidak menjadi.

"Saya mahu dia menumpukan kepada satu acara sahaja.

"Ia lebih baik untuknya," katanya.