Berbaki tujuh bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, dilihat sebagai harapan utama untuk meraih pingat emas pertama negara dalam temasya itu.

Dengan itu, dia dilihat layak untuk menerima segala kemudahan dan bantuan untuk mencapai impian berkenaan.

Bekas pelumba negara, Datuk Ng Joo Ngan, bersetuju dengan saranan bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, untuk memberikan tumpuan kepada Azizulhasni dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Bukan menidakkan prospek lain seperti sukan badminton dan terjun, namun setakat ini, hanya Azizulhasni dilihat memaparkan ketekalan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Biarpun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak berhasrat untuk minta lebih agihan dana menjelang program baru yang akan dibentuk bulan depan, Joo Ngan berasakan pelumba negara itu perlu diberikan keistimewaan daripada sudut sains sukan atau apa-apa sahaja bantuan yang relevan.

"Dia sudah berusaha selama empat tahun tetapi dalam berbasikal, segala-galanya boleh berlaku.

"Tetapi saya fikir dia berpeluang cerah untuk memenangi pingat emas.

"Secara peribadi, saya yakin dia mampu memenangi pingat emas.

"Kerana dalam berbasikal, apabila anda memenangi gangsa, anda akan meningkatkan pengalaman dan latihan untuk memperbaikinya," katanya.

Ketika ini, Azizulhasni sedang menjalani proses pemulihan setelah terlibat dengan kemalangan dalam Piala Dunia di Brisbane, Australia dua minggu lalu.

Satu program khusus membabitkan 10 sukan yang telah layak ke Tokyo sedang dirangka dan akan dibentangkan bulan depan.

"Saya fikir dia perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

"Ia tidak menjadi masalah kerana dia berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam berbasikal.

"Tiada masalah untuk dia menangani tekanan," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa