Gimnas negara, Amy Kwan, bakal menghadapi cabaran untuk mengambil bahagian dalam kejohanan pada 2020, secara tidak langsung merencatkan misinya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Secara keseluruhan, skuad gimnastik negara mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih sembilan pingat emas, tiga perak dan empat gangsa dalam penglibatan Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu.

Namun, Amy yang menjadi pertaruhan terbaik skuad gimrama gagal menghadirkan emas ekoran kecederaan, sekali gus menyaksikannya kurang mendapat pendedahan kejohanan pada tahun ini sebelum menyertai temasya edisi ke-30 itu.

Amy berdepan cabaran pada tahun depan apabila pelajar tahun akhir Universiti Malaya (UM) jurusan ekonomi itu bakal menghadapi latihan industri, bermula Februari depan yang akan merencatkan persiapannya untuk menghadapi Kejohanan Asia di Jepun yang menawarkan slot ke temasya Tokyo 2020.

"Yang pertama, saya (kecewa) dengan persembahan sendiri sebab sudah berlatih beberapa bulan sehingga membuatkan saya fikir mampu berikan yang terbaik tetapi dalam kejohanan sebenar, saya masih membuat beberapa kesilapan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Amy akan menunggu perancangan daripada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Untuk tahun 2020, saya akan menamatkan pengajian terlebih dahulu.

"Saya juga memikirkan tentang masa depan kerana bakal memulakan latihan industri tetapi saya berharap dapat melaluinya dengan baik."


Editor: Shaiful Shamsudin