Ridzuan, Latif bersyukur tunai hasrat ke Tanah Suci

Oleh Staff Writer 26 Disember 2016 4
Ridzuan, Latif bersyukur tunai hasrat ke Tanah Suci

Tiba masanya untuk melupakan seketika memori indah tahun 2016 dan fokus membina kejayaan baru pada tahun hadapan sebaik sahaja pulang dari mengerjakan umrah bersama keluarga.

Demikian antara harapan besar pemenang pingat emas Paralimpik Rio, Muhammad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly.

Bagi Ridzuan dan Latif, ia satu penghargaan besar apabila berjaya menunaikan janji untuk membawa ibu bapa ke Makkah.

Namun, mereka enggan rakyat Malaysia sekadar mengingati kejayaan manis tahun 2016 kerana ia hanya permulaan untuk terus mencipta nama di pentas dunia.

Apa yang penting kini ialah misi besar dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia dan Sukan Para ASEAN  2017.

"Saya gembira dapat membawa ibu bapa ke Makkah untuk mengerjakan umrah," jelas Ridzuan yang ditemui di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan.

Sementara itu, Latif meluahkan rasa gembira kerana dapat menunaikan hajat ibu-bapanya, dengan berkata: "Saya sudah lama berhajat membawa mereka mengerjakan umrah. Diharapkan selepas ini karier sukan kami lebih berjaya dan doakan agar ibu bapa saya panjang umur."

Sudah pasti, hajat besar ibu bapa adalah ingin melihat perjuangan anak dapat diteruskan selagi mampu bukan sahaja demi keluarga, malah untuk negara tercinta.

"Kami sebagai ibu bapa berasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kami dapat bersama-sama dengan anak berangkat ke Makkah," kata ibu Latif, Salmah Yatim.

Keempat-empat atlet para negara berangkat ke Tanah Suci hari ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen