Pemain nombor tujuh dunia, Alexander Zverev, masih belum memberikan kepastian sama ada akan beraksi dalam Terbuka AS atau sebaliknya.

Saingan grand slam itu dijadualkan bermula 31 Ogos ini selepas ditangguh sebelum ini ekoran pandemik koronavirus, tetapi kebimbangan masih lagi timbul ekoran tahap kesihatan.

Zverev, yang hadir daripada tiga kemenangan dalam saingan Ultimate Tennis Showdown, tidak pasti akan membuat kunjungan ke New York ataupun tidak.

"Saya akan melihat terlebih dahulu kerana situasi semasa di AS tidak begitu baik jadi saya tidak pasti ia adalah perkara yang tepat untuk kami menyertai saingan itu," katanya.

"Saya mahu menyertai kejohanan, tetapi saya berasakan AS adalah tempat yang sangat rumit."



Amerika Syarikat menyaksikan lebih daripada 4.8 juta kes yang disahkan positif koronavirus, dengan angkat kematian melepasi 158,000.

Zverev, 23, berkata dia perlu tunggu dan lihat sebelum mengambil keputusan mengenai Terbuka AS.

"Saya berasakan perlu melihat terlebih dahulu perkembangan di sana. Saya hanya akan ke sana jika ia adalah selamat."