Pemanah compound negara, Zulfadhli Ruslan dan Juwaidi Mazuki, mengidamkan persembahan mantap dalam Kejohanan Dunia di Bandaraya Mexico bermula Ahad ini walaupun ini kali pertama mereka bakal beraksi di pentas tertinggi itu.

Buat julung-julung kali, Malaysia mempunyai wakil dalam kesemua bahagian bagi saingan recurve serta compound dalam kejohanan itu nanti.

Lantaran itu, sasaran lebih realistik diletakkan Zulfadhli dengan hasrat memecahkan rekod kebangsaan menjadi keutamaan.

Keyakinan itu berdasarkan persembahan yang dipamerkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, dengan dia sebahagian daripada trio yang memenangi emas berpasukan lelaki bersama Juwaidi serta Lee Kin Lip.

“Sasaran utama kami adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan daripada segi jarak kelayakan dalam kejohanan ini.

"Selain itu, kami mahu berusaha untuk memecah rekod kebangsaan. Saya berasakan prestasi daripada Sukan SEA akan menjadi bekalan di Mexico,” kata Zulfadhli.

Sementara itu, pengalaman beraksi dalam Sukan Dunia di Poland, awal Ogos lalu, sedikit memberikan kelebihan buat Juwaidi untuk menampilkan aksi yang lebih baik di Mexico.

Ini kerana majoriti pemanah utama dunia turut beraksi dalam Sukan Dunia dan Juwaidi boleh mendapat bayangan awal bagaimana cabaran yang bakal dihadapi dalam Kejohanan Dunia nanti.

“Kita sudah mengetahui atlet-atlet yang bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia, cuma penyertaan akan lagi ramai sebab ia antara kejohanan terbesar sukan memanah. Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik nanti,” kata Juwaidi.