Atlet Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, sekali lagi melakar sejarah apabila mencatat rekod baru dunia acara lontar peluru lelaki F20 dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park, awal pagi ini.

Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29 meter untuk meraih emas, mengetepikan Stalin David Mosquera dari Ecuador yang meraih perak menerusi lontaran 16.72m manakala peserta Australia, Todd Hodgetts, meraih gangsa dengan 15.96m.

Catatan itu menyaksikan Ziyad memperbaharui rekod dunia miliknya, 16.84m, yang dilakukan dalam Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ziyad begitu berbangga dengan pencapaian itu selepas berusaha keras dalam latihan.

“Saya datang ke sini untuk membawa pulang sesuatu kepada negara saya. Ini adalah rekod dunia kedua saya dan saya sangat bangga.

"Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pencapaian ini. Saya bangun pagi ini (Sabtu) dan berfikir mungkin saya dapat memecahkan rekod dunia.

“Saya selalu impikan untuk melakukannya dan malam ini saya berjaya. Rekod dunia, juara Paralimpik dan kini juara dunia – ia sangat bagus.

“Saya benar-benar tertekan apabila melihat jarak lontaran yang dibuat atlet Australia tetapi saya tahu ia tidak begitu jauh. Saya tahu ia salah. Saya sangat beremosi tetapi jurulatih menenangkan saya.

"Ini mengganggu saya tetapi sekarang saya sangat gembira memenangi acara ini,” katanya.