Atlet lontar peluru negara, Ziyad Zolkefli, mahu terus mengukuhkan reputasinya sebagai raja para Asia Tenggara dengan cuba meraih pingat emas kelimanya dalam Sukan Para ASEAN Filipina, Mac depan.

Dia mula membuat penampilan sejak 2011 di Surakarta, Indonesia dan sejak itu, pemegang rekod dunia itu terus konsisten untuk menjadi penyumbang emas buat kontinjen Malaysia.

Ziyad tetap tidak mahu mengambil mudah saingan di Filipina meskipun mengakui sukar mendapatkan lawan setaraf dalam Asia Tenggara tatkala tumpuan utamanya tahun ini adalah Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Kehadirannya ke Filipina kali ini adalah cuba untuk menebus kekecewaan sekadar meraih perak ketika menyertai Sukan SEA, 30 November-11 Disember tahun lalu.

"Selepas melihat latihan yang telah dilalui, insya-Allah saya dapat mengekalkan kemenangan, meraihnya kali kelima berturut-turut. Saya mahu cuba yang terbaik di Manila," katanya.

Ziyad juga menaruh keyakinan tinggi terhadap program yang direncanakan jurulatihnya, Faizol Harun, untuk persiapan ke Paralimpik Tokyo memandangkan dia bakal mempunyai tempoh singkat untuk bersiap ke saingan itu sejurus tamatnya Sukan Para ASEAN nanti.

"Kalau dilihat daripada segi pengalaman, saya rasa boleh capai prestasi terbaik sebanyak tiga atau empat kali, sebenarnya. Sasaran utama saya memang Tokyo 2020," tambahnya.



Editor: Nafis Abdullah