Muncul selaku penerima tertinggi anugerah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) tidak bermaksud Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly sudah boleh goyang kaki kerana kedua-duanya perlu kembali menjalani latihan pada penghujung bulan ini sebagai persediaan ke Sukan SEA 2017.

Ia cabaran baru buat kedua-dua atlet Paralimpik ini yang memiliki peluang cerah untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA tahun hadapan.

Justeru, Ziyad dan Latif tidak mempunyai banyak masa untuk bersenang-lenang kerana kudrat mereka kembali ditagih bagi merebut slot ke temasya itu.

Sudah pasti kedua-duanya perlu melupakan seketika kemasyhuran dan kejayaan di Rio kerana mereka kini dalam perjalanan mencipta satu lagi sejarah baru.

"Pada saya, ganjaran itu saya anggap sebagai pembakar semangat buat saya melakar kejayaan lebih besar dalam sukan lontar peluru Paralimpik di samping untuk mencapai sasaran saya sendiri," jelasnya.

Latif juga senada dengan rakan seperjuangannya.

Dengan penghargaan yang diterima pada Sabtu, ia menyemarakkan lagi semangat anak jati Perlis itu untuk terus melakar sejarah untuk pembabitan pertama kali atlet Paralimpik di Sukan SEA.

"Saya sangat tertunggu-tunggu kerana pada saya, ia umpama mimpi dapat meraih ganjaran sehingga RM1 juta," katanya.