Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, berkata atlet akan kelihatan seperti bayi yang baru merangkak apabila kembali menyertai sesi latihan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pandemik global Covid-19 memaksa kerajaan untuk melancarkan PKP bermula 18 Mac lalu hingga 28 April depan.

Ia jelas merencatkan persediaan atlet negara memandang segala bentuk acara sukan dan sesi latihan turut dibekukan.

Walaupun terpaksa menjalani latihan di rumah, Ziyad menjelaskan bahawa dirinya masih kekal fokus untuk menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo yang ditunda ke Ogos tahun depan.

"Kami perlu bermula kembali dengan perlahan-lahan.

"Mungkin selama sebulan, dua bulan atau tiga bulan, jadi agak susah juga.

"Apabila sudah mula bercuti, sudah mula berhenti (berlatih), hendak bermula kembali agak susah sedikit.

"Ia seperti bayi merangkak yang cuba untuk berjalan.

"Sukan Paralimpik merupakan temasya utama.

"Maksudnya, ia temasya terbesar dalam sukan para.

"Jadi, saya memilih untuk fokus kepadanya," katanya.