Ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, membayangkan pendirian menolak tawaran untuk mengendalikan skuad pembangunan, sekaligus akan pulang ke China sebaik kontraknya berakhir, hujung tahun ini.

Zhuliang, yang kembali ke Malaysia buat kali kedua pada 2008, ditawarkan peranan itu yang memberi bayangan tempoh khidmatnya di Malaysia semakin menuju ke penghujungnya.

"Saya harus menilai tawaran itu, saya belum membuat keputusan lagi.

"Ada sesuatu yang berlaku dalam Sukan SEA 2017 yang lalu tetapi saya tidak boleh mendedahkannya," katanya.

Zhuliang, yang turut mempunyai kerakyatan Australia, disebut-sebut sebagai prospek yang akan diberi kepercayaan untuk program rombakan skuad terjun negara itu. Begitupun, faktor keluarga bakal mempengaruhi keputusannya kali ini.

"Ya, saya mahu menjaga ibu-bapa saya. Sejak berusia 10 tahun lagi, saya sudah berpisah dengan mereka kerana perlu mengikuti latihan di bandar lain. Sehinggalah saat ini, saya tidak pernah tinggal bersama mereka lagi.

"Kini mereka mencecah usia 90 tahun, saya mahu pulang dan menjaga mereka. Ini satu langkah yang cukup baik untuk saya," ujarnya lagi.