Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, mendakwa insiden ketika Sukan Sea Kuala Lumpur, Ogos lalu, menjadi punca dia hilang jawatan dan digantikan oleh penolongnya, Zhang Yukun, untuk menghadapi musim 2018.

Jurulatih berpengalaman itu mendakwa menerima terlalu banyak arahan dalam temasya dwi-tahunan itu.

Ia jelas berlaku ketika penerjun, Nur Dhabitah Sabri, berada di persimpangan sama ada menarik diri ekoran masalah kesihatan atau meneruskan cabaran dalam acara 3m individu papan anjal.

Ketika itu, ada pihak mahu Dhabitah menarik diri walaupun akhirnya dia berjaya meraih pingat emas dalam acara itu.

"Selepas Sukan SEA tamat, saya sudah ada persaaan (membayangkan) saya akan dikeluarkan," katanya. "Saya tidak boleh beritahu kenapa."

Jurulatih berusia 52 tahun itu turut menolak tawaran mengendalikan skuad pembangunan dan akan pulang ke China selepas tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Sementara itu, penerjun negara rata-rata enggan mengulas nasib yang menimpa jurulatih mereka.

"Kami tidak diberitahu lagi tetapi semalam kami dengar dia mengucapkan selamat tinggal. Itu sahaja yang saya tahu," kata Leong Mun Yee.

Ditanya adakah bersedia kehilangan Zhuliang, dia berkata: "Sudah keputusannya macam itu, tidak boleh buat apa."

"Bagi saya, ia adalah berita yang mengejutkan," kata Cheong Jun Hoong sambil menambah: "Sekarang ini saya masih dalam pemulihan dan sibuk dengan belajar. Saya berharap saya pulih dengan baik agar dapat menghadapi musim depan."