Penerjun negara, Joey Loh Zhiayi, bakal membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa selepas 23 bulan apabila dipilih beraksi dalam dua acara saingan Grand Prix FINA di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Masalah penglihatan selain isu peribadi memaksa Zhiayi berehat panjang, Sepanjang tempoh itu, dia lebih banyak menjalani latihan bersendirian sebelum kembali mencabar dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak dan meraih dua pingat emas.

Kejayaan itu meyakinkan Zhiayi untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, sekali gus mencabar GP FINA di Kuala Lumpur yang bermula esok.

"Sebab saya telah lama direhatkan daripada saingan antarabangsa, saya berharap untuk melakukan yang terbaik," kata Zhiayi.

Zhiayi akan beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Ong Ker Ying.

"Zhiayi sering memberikan nasihat supaya jangan terlalu gementar ketika beraksi dan cuba untuk mengawalnya ketika melakukan terjunan," kata Ker Ying.