Penerjun negara, Loh Zhiayi, mengabaikan kesakitan dan rasa penat dengan menamatkan cabaran hari pertama Kejohanan Terjun Grand Prix FINA di Kuching di tempat ketiga bagi acara 10 meter platform wanita.

Melewati jadual kejohanan yang padat dan panjang bermula dari awal pagi, Zhiayi lega kesukaran itu tetap membuahkan hasil untuknya.

Mengakui dia gagal menyesuaikan diri dengan baik di Pusat Akuatik Sarawak, kelibatnya hampir dinafikan dalam aksi final selepas gagal membuat terjunan sempurna di peringkat separuh akhir.

Namun, Zhiayi tampil lebih berkesan dalam aksi final, sekali gus menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan catatan 285.55 mata.

"Pagi tadi, semasa peringkat saringan dan separuh akhir, terjunan saya tidak berapa bagus sehingga sering menduduki tempat keenam," jelas Zhiayi.

"Saya pun tidak jangka saya akan memenangi tempat ketiga. Memandangkan prestasi peserta lain pun tidak berapa bagus, jadi saya boleh dianggap bertuah.

"Sangat-sangat bertuah. Lagipun, saya tidak banyak menjalani latihan kerana hanya berkesempatan membuat persiapan selama dua minggu di China."

Tempat pertama dan kedua acara 10 meter platform wanita itu didominasi penerjun dari China.

Dalam acara 3 meter papan anjal lelaki, wakil tunggal negara di final, Chew Yiwei, sekadar menduduki tempat kelima.

Dua lagi peserta negara, Amsyar Azman dan Muhammad Syafiq Puteh, terkandas di peringkat separuh akhir.