Loh Zhia Yi berjaya membutirkan pingat gangsa buat kem terjun negara selepas mempamerkan aksi konsisten dalam saingan final 10m platform individu wanita, Grand Prix Terjun FINA di Kuching, hari ini.

Zhia Yi mengekalkan aksi cemerlang sejak terjunan pertama biarpun gagal menyaingi kehebatan penerjun dari China.

Aksi cemerlang tersebut berjaya diteruskan dalam terjunan kedua sehingga Zhia Yi berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga untuk meraih gangsa.

Penerjun China, Lian Jie, meraih pingat emas manakala rakan senegaranya, Bing Qing, menyusul di tempat kedua.

Dalam saingan final 3m papan anjal lelaki pula, wakil negara, Chew Yiwei, gagal meneruskan aksi konsisten bermula pada terjunan keempat, selepas mencatat keputusan keseluruhan 371.60 mata untuk berada di tempat kelima.

Yiwei cemerlang dalam terjunan pertama dan kedua, untuk menjadi pencabar pingat final, namun bermula hambar dalam terjunan keempat sebelum terus merosot dalam baki saingan.

Dua penerjun China, Xie Si Yi dan Peng Jianfeng, menepati ramalan untuk menamatkan acara di kedudukan pertama dan kedua, sementara penerjun Australia, Kevin Chavez, pulang dengan gangsa.