Zhi Quan enggan ambil risiko

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2017 353
Zhi Quan enggan ambil risiko
Jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan, tidak berani mengambil risiko selepas Mohd Hafifi Mansor dikesan positif doping apabila memutuskan hanya seorang atlet bakal menyertai Kejohanan Dunia di California, Amerika Syarikat, bulan depan.

Ia merupakan satu keputusan drastik yang perlu diambil oleh jurulatih negara itu apabila Hafifi digantung kerana positif oxymetholone.

Seorang lagi atlet negara, Muhammad Azroy Hazal Wafie, dipilih untuk menggalas tugas tunggal dalam kejohanan di California itu.

"Saya akan bawa Azroy seorang ke sana. Dia akan berlatih dengan lebih kuat lagi," kata Zhi Quan.

Azroy melaungkan semangatnya bagi menghadapi cabaran ini dan akan berusaha untuk mendapatkan keputusan positif, sekaligus menjadi salah satu persiapannya menghadapi Sukan Komanwel tahun depan.

"Saya akan membuktikan kemampuan saya dan memberikan keputusan yang baik untuk Sukan Komanwel. Saya akan cuba untuk memperbaharui rekod kebangsaan," kata Azroy.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kini sedang menunggu maklum balas daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sebelum mengambil tindakan susulan terhadap Hafifi.

Hafifi kini digantung buat sementara waktu daripada Program Podium dan tidak dibenarkan menggunakan sebarang kemudahan dalam program tersebut selagi siasatan belum selesai.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen