Jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan, melahirkan kebimbangan Malaysia akan kehilangan juara masa depan jika pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dikenakan penggantungan maksimum empat tahun ekoran positif doping.

Kes membabitkan Khairul Anuar Mohamad yang dikesan positif doping dianggap sesuatu yang merugikan kerana dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah bersaing di pentas antarabangsa.

Zhi Quan pernah membimbing Khairul Anuar dalam skuad pelapis kebangsaan dan menyifatkan atlet itu memiliki tubuh badan yang cukup sesuai untuk bergelar seorang juara.

"Sakit hati apabila hilang juara. Perkara ini bukan senang dan saya tengah sakit hati," katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar memohon PABM menerima alasan yang dikemukakan oleh jurulatih dan pengurus skuad angkat berat Pahang.

Khairul Anuar mengakui mengambil makanan tambahan untuk menaikkan berat badan, namun tidak sedar bahan terbabit mengandungi steroid.

"Saya tak makan ubatan tambahan itu (lain), tetapi tak tahu pula kalau dalam ubatan tambahan ada steroid.

"Perkara itu tak sengaja, saya minta penggantungan dua tahun sebab mungkin saya akan sambung berlatih dan mahu bersihkan nama balik.

"Saya makan bukan sengaja, sebab kejohanan (Sukma Sarawak) sudah dekat, takkan saya gila nak bunuh (kerjaya) diri sendiri. Tak tahu pula kalau ada orang nak sabotaj," katanya.

Khairul Anuar dikesan positif steroid selepas meraih dua pingat emas kategori 94kg dalam Sukma Sarawak, Julai lalu.

Bagaimanapun, dia terpaksa memulangkan pingat itu kepada Jawatankuasa Disiplin Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), semalam.

PABM dijangka akan mengumumkan hukuman terhadap Khairul Anuar pada Rabu ini.