Pasukan MSN-Mycron melakar kejutan apabila pelumbanya, Muhammad Zawawi Azman, menjuarai peringkat keempat perlumbaan basikal Jelajah Malaysia 2016.

Saingan peringkat keempat menyaksikan pelumba bermula di Machang, Kelantan menuju ke Gong Badak, Terengganu dengan jarak sejauh 125.2 kilometer.

Tiada zon pendakian ditawarkan pada peringkat ini dengan permukaan landai membuka peluang buat pakar pecut untuk memperolehi mata di tiga zon pecutan, masing-masing di Jerteh, Rhu dan juga Mengabang Lekor.

Pada pertengahan saingan, lima pelumba membuat pecahan untuk memimpin perlumbaan, antaranya Zawawi di samping Mark John Lexer Galedo dari pasukan 7 Eleven Sava RBP.

Turut berada dalam kelompok pendahulu adalah pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkeflie.

Ketiga-tiga pelumba itu bersaing hebat ke garisan penamat dengan Zawawi lebih cemerlang untuk meraih tempat pertama dengan mencatat masa 2 jam 38 minit 27 saat.

Galedo berada di tempat kedua, diikuti Nik Mohd Azwan di tempat ketiga.

Ini merupakan kemenangan sulung buat pasukan MSN-Mycron sejak pasukan bertaraf benua itu ditubuhkan pada 2015.

Menurut Zawawi, kejayaan rakan sepasukan, Irwandie Lakasek, meraih tempat ketiga pada peringkat ketiga memberikan lebih motivasi buat dirinya untuk meraih podium kali ini.

"Saya terus memecut di zon pecutan pertama dan berjaya membuat pecahan bersama lima pelumba lagi.

"Selepas itu saya dirapati sebelum saya sekali lagi membuat pecahan dan terus memecut sehingga habis perlumbaan.

"Selepas melihat kejayaan Lakasek, saya semakin bersemangat. Sememangnya sebelum jelajah ini bermula, saya memasang niat untuk menaiki podium," katanya.

Pelumba pasukan kebangsaan, Azwan Zulkeflie, pula enggan kehilangan jersi merah selaku pelumba terbaik tempatan.

"Strategi yang dirancang semalam nampaknya menjadi. Hari ini saya memberi henjutan penuh untuk mendapatkan jersi merah dan muncul pelumba terbaik Malaysia.

"Untuk esok, saya akan cuba mengekalkan jersi dan muncul 10 pelumba terbaik," ujarnya yang akan menyertai Jelajah China dan Indonesia sebagai salah satu persiapan untuk menghadapi Sukan SEA 2017.