Pasukan MSN-Mycron melakar kejutan apabila pelumbanya, Muhammad Zawawi Azman, menjuarai peringkat keempat perlumbaan basikal Jelajah Malaysia 2016.

Saingan peringkat keempat menyaksikan pelumba bermula di Machang, Kelantan, menuju ke Gong Badak, Terengganu, dengan jarak sejauh 125.2km.

Tiada zon pendakian ditawarkan pada peringkat itu, dengan permukaan landai membuka peluang buat pakar pecut untuk memperolehi mata di tiga zon pecutan, masing-masing di Jerteh, Rhu dan juga Mengabang Lekor.

Pertengahan saingan menyaksikan lima pelumba membuat pecahan untuk memimpin perlumbaan.

Antaranya pelumba MSN-Mycron, Zawawi, di samping kelibat Mark John Lexer Galedo dari pasukan Seven Eleven Sava RBP.

Turut berada di dalam kelompok pendahulu adalah pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie.

Ketiga-tiga pelumba itu bersaing hebat ke garisan penamat, dengan Zawawi lebih cemerlang untuk meraih tempat pertama, dengan catatan 2 jam 38 minit 27 saat.

Galedo berada di tempat kedua, diikuti Nik Mohd Azwan ketiga.

Itu merupakan kemenangan sulung buat pasukan MSN-Mycron sejak pasukan bertaraf benua itu ditubuhkan pada 2015.

Menurut Zawawi, kejayaan rakan sepasukan, Irwandie Lakasek, meraih tempat ketiga pada peringkat ketiga, memberikan lebih motivasi buat dirinya untuk meraih podium kali ini.

"Selepas pecutan yang pertama, saya terus menyerang untuk berpecah daripada lima pelumba, kemudian saya terperangkap. Apabila ada sekali lagi peluang untuk berpecah, saya berjaya untuk melepaskan diri dan saya melakukan kayuhan sehingga ke penamat.

"Semalam Irwandie berjaya memaiki podium, jadi hari ini saya menjadikan kejayaan tersebut sebagai motivasi buat saya kerana sebelum bermula jelajah, saya ada meletakkan sasaran untuk menaiki podium," jelasnya.