Pesilat negara, Muhammad Zarish Hakim, mahu menunaikan janji kepada bekas juara dunia 2016, Razak Ghazali, untuk mara ke final Kejohanan Dunia di Singapura, bulan depan.

Zarish sebelum ini diberikan tanggungjawab menggantikan Razak dalam Kelas D Putra dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Namun, dia gagal ke final selepas tersungkur dalam pusingan suku akhir.

Justeru, dia enggan mempersia-siakan tanggungjawab yang sama ketika beraksi dalam Kejohanan Silat Dunia di Singapura selepas tidak dibenarkan beraksi sebelumnya ekoran gegaran otak.

"Saya tidak berani untuk berjanji, namun saya akan membuktikan yang saya mampu untuk meraih pingat dalam kejohanan itu nanti," katanya.

Pesilat berusia 19 tahun itu kini dalam proses pemulihan kecederaan lutut kanan yang dialaminya sejak dua minggu lalu, namun kecederaan itu tidak terlalu serius dan dia dibenarkan menjalani latihan seperti biasa.

"Setakat ini, ia tidak mengganggu pergerakan saya walaupun terdapat sedikit koyakan otot.

"Walaupun agak sakit, saya yakin ia akan pulih sebelum ke Kejohanan Dunia," katanya.