Pesilat negara Kelas C, Putera Muhammad Zarish Hakim, berharap rakan senegara akan lebih berhati-hati dengan pesilat dari Indonesia selepas dirinya ditendang sehingga pengsan dalam suku akhir Kejohanan Pencak Silat Dunia semalam.

Pesilat berusia 19 tahun itu pengsan selepas ditendang oleh pesilat tuan rumah, Hanifan Yudani Kusumah, di bahagian bawah dagu sehingga gagal untuk meneruskan perlawanan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya agak terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh pesilat Indonesia itu. Saya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kemudian saya dihantar balik ke hotel untuk berehat," katanya.

Zarish, bagaimanapun, terkilan apabila wasit memberikan kemenangan percuma kepada pesilat Indonesia selepas pegawai perubatan kejohanan yang memasuki gelanggang menganggap Zarish masih boleh meneruskan pertarungan.

"Saya sangat tidak menyangka kemenangan diberikan kepada Indonesia, saya dikasari dengan begitu keras tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan, adat bertanding jadi saya perlu menerimanya dengan redha.

"Saya masih berasa sakit tetapi dengan ubat yang diberikan dan rawatan daripada fisioterapi, sakit yang saya rasai mula berkurangan.

Dalam pada itu, Zarish menasihatkan Mohd Al Jufferi Jamari yang turun beraksi hari ini agar berhati-hati dengan setiap tindakan yang mungkin dilakukan oleh pesilat Indonesia sambil mengharapkan kejayaan berpihak kepada pesilat negara.

"Saya berharap Jufferi dapat melakukan yang terbaik dan berhati-hati dengan taktik yang dilakukan oleh Indonesia. Saya mendoakan moga Jufferi meraih kemenangan."