Pelumba Musashi Honda, Mohd Zaqhwan Zaidi, menganggap tuah tidak memihak kepadanya dalam pusingan kelima Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) di New Delhi tempoh hari yang menghindarkannya untuk menjadi pendahulu keseluruhan kategori Supersport 600.

Zaqhwan berlumba di India dengan kecederaan bahu kanan yang masih belum pulih.

Dua perlumbaan yang ditempuhi memaksanya beraksi dalam keadaan kesakitan dan tidak mampu untuk mempamerkan aksi sebenar sebagaimana yang dilakukannya di Indonesia.

Peluang itu telah dirampas pelumba Yuzy Honda, Tomoyoshi Koyama, untuk menjadi pendahulu kategori Supersports 600cc dengan 150 mata, tujuh mata di hadapan Zaqhwan.

"Keadaan saya masih belum pulih dan saya hanya mempunyai 80 peratus kekuatan. Ketika perlumbaan, saya masih berasa baik tetapi selepas tamat perlumbaan, saya berasakan kesakitan.

"Untuk perlumbaan yang akan datang, saya akan bersaing untuk mendapatkan kejuaraan keseluruhan, jadi saya perlu bekerja keras," jelas Zaqhwan.

Tempoh sebulan sebelum berlangsungnya pusingan akhir di Litar Buriram, Thailand, Disember depan adalah penting buat Zaqhwan.

Dia akan menggunakan tempoh itu untuk melakukan analisis bersama pasukannya dan mempertingkatkan lagi latihan, apatah lagi saingan dijangka menjadi lebih sengit di antara lima pelumba teratas dalam kedudukan Supersport 600.

"Saya telah rugi satu perlumbaan ketika di India, juga mata yang amat berharga untuk saya ketika di sana. Saya terpaksa mengutip mata sebanyak mungkin di Buriram nanti dan saya berharap saya akan mampu untuk bersaing mendapatkan kemenangan di sana."