Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, tidak mahu terus dihantui kesilapan di India menjelang perlumbaan terakhir Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand, minggu ini.

Zaqhwan yang mewakili pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing, menjadi antara pilihan untuk memburu gelaran keseluruhan Supersport 600cc yang pernah dimenanginya pada 2014.

Namun, kesilapan dalam perlumbaan pertama pusingan kelima di India menyaksikan dia dikenakan penalti dan kehilangan mata penting.

Dia ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu dari Jepun, Tomoshi Koyama, yang mewakili pasukan T Pro Yuzy Honda.

"Saya berasa perlumbaan kali ini pastinya lebih sengit dan saya perlu memberikan fokus sepenuhnya.

"Apa yang penting untuk saya dalam perlumbaan kali ini adalah mendapatkan dua kemenangan berturut-turut, dan saya berharap saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama ketika di India.

"Di India, saya dikenakan penalti satu perlumbaan dan saya berasa sangat kecewa pada hari tersebut. Saya akan mencuba untuk kembali dengan perlumbaan yang lebih cemerlang di Thailand nanti," katanya.

Selain Zaqhwan dan Koyama, dua lagi pelumba yang mempunyai peluang untuk mengintai gelaran keseluruhan ialah Azlan Shah Kamaruzaman dan juga juara bertahan, Yuki Takahashi.

Ini merupakan kali kedua perlumbaan berlangsung di litar Buriram selepas pusingan kedua turut diadakan di sana, Mei lalu.

Zaqhwan ketika itu berjaya memenangi satu perlumbaan dan melontarkan keyakinan bahawa rentak itu dapat diulangi meskipun mengakui suasana di litar berkenaan sedikit berbeza di penghujung musim.

"Saya pernah meraih kejayaan di sana dan saya berharap saya mampu untuk meraih kemenangan sekali lagi.

"Saya perlu berlumba dengan lebih laju dan saya akan cuba untuk mempamerkan perlumbaan yang lebih baik."