Bekas jurulatih skuad petanque negara, Zani Lisa Mohamad, sedia kembali ke pangkuan pasukan jika Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) mengemukakan sebarang tawaran rasmi selepas kontraknya berakhir pada Ogos lalu.

Zani merupakan watak penting yang membawa kejayaan skuad petanque menuai dua pingat emas dalam temasya KL2017, Ogos lalu.

Ekoran tidak diberi sebarang kontrak lanjutan sebaik tamat Sukan SEA lalu, dia sedang mempertimbangkan tawaran daripada dua negara pesaing, Myanmar dan Filipina.

Namun, Zani sedia menanti sehingga hujung tahun ini sekiranya PPM masih berminat menggunakan khidmatnya kembali.

"Tiada siapa yang tidak mahu berbakti untuk negara. Kalau seseorang itu mempunyai kepakaran lalu menyumbang kepada negara, maka orang itu sebenarnya berbakti kepada negara.

"Bagi saya, lebih baik berbakti untuk negara sendiri berbanding negara lain.

"Saya yakin mampu untuk membantu negara mendapatkan pingat," katanya.

Selain itu, Zani menjelaskan jika diberi peluang sekali lagi, misi persiapan ke Sukan Olimpik 2024 menjadi sasaran utamanya.

Cukup optimis sukan itu hampir pasti disenaraikan di Paris, Zani mendedahkan beberapa negara sudah mula melakukan persiapan rapi.

"Perancis, Thailand, Kemboja dan Madagascar, mereka telah memulakan persiapan sedangkan negara lain termasuk Malaysia sendiri belum lagi memulakan langkah.

"Kalau kita mengamalkan konsep yang sama untuk kempen Sukan Olimpik 2024, kita akan menjadi pesaing utama dan mampu menjadi penyumbang pingat (buat negara)," ujarnya.