Bekas jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed, bimbang sukan itu bakal kembali ke zaman kegelapan selepas kegagalan Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) menghantar atlet negara menyertai Kejohanan Dunia di Kanada serta Kejohanan Asia yang akan berlangsung di India.

Zani, yang tidak lagi bergelar ketua jurulatih sejak Ogos lalu, kecewa apabila mengetahui skuad trio lelaki tidak mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung September lalu.

Tidak pasti apa masalah dalam PPM, Zani resah memikirkan masa depan petanque sambil menganggapnya satu kerugian kepada negara memandangkan sukan itu hampir pasti dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2024.

"Malaysia berada dalam kelompok pemain terbaik dunia tetapi prestasi pasukan akan merudum kerana tidak mengekalkan momentum," kata Zani.

Dia turut hairan kenapa PPM belum melakukan apa-apa perancangan jika sukan itu tersenarai dalam Sukan SEA 2019 Filipina.

Dengan jangka masa hanya setahun yang tinggal, Zani sudah boleh menghidu skuad petanque negara akan berdepan kesukaran mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi di Kuala Lumpur 2017.

Keadaan itu turut ditambah persiapan mantap dilakukan negara seteru seperti Thailand, Kemboja, Myanmar serta Indonesia.

"Jika skuad negara dikekalkan tetapi tiada perancangan serta program tidak dilakukan, Malaysia akan menghadapi kesukaran untuk mengulangi kejayaan dalam dua edisi Sukan SEA yang lalu."