Lebih setahun sejak insiden hitam di Litar Sentul, Indonesia, pelumba Honda Mushashi, Zamri Baba, kini tampil lebih sihat untuk meneruskan kehidupan selain bersemangat menantikan saingan Moto GP di Litar Sepang hujung minngu ini.

Kemalangan dalam pusingan keempat kategori Supersport 600cc pada 2015, hampir meragut nyawa Zamri apabila dia dirempuh dari belakang oleh pelumba Indonesia, Ekky Dimas Pratama.

Dia mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selain patah tangan. Zamri kini dijaga rapi oleh ahli keluarganya di Klang, Selangor.

Meskipun tidak seaktif dahulu dan pergerakannya juga terbatas, Zamri kini semakin pulih apabila sudah boleh berinteraksi dengan orang di sekeliling dan memorinya semakin kembali.

"Hai, nama saya Zambri Baba, saya tidak apa-apa, saya berehat setiap hari, saya pergi berurut dan semuanya ok," kata Zamri ketika ditemui di kediamannya.

Bagi isterinya, Fazlina Ahmad Fauzy, walaupun keadaan suaminya tidak mengizinkan, Zamri masih menunjukkan kerinduan untuk kembali beraksi di litar.

Dia sendiri tidak menyangka Zamri mampu untuk bangkit dan pulih daripada kemalangan tersebut meskipun tidak mampu untuk mengingati kembali kejadian yang menimpanya.

"Dia menunjukkan prestasi yang bagus, setiap bulan ada peningkatan dan kini di dalam fasa untuk memulihkan kembali ingatannya selain berusaha untuk membantunya berjalan semula.

"Kami tidak meletakkan sasaran bila dia boleh berjalan seperti biasa, cuma kami yang berada di sekelilingnya sentiasa memberikan semangat kepadanya," jelas Fazlina.