Pemain boling padang berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad, sedia bersaing dengan Emma Firyana Saroji bagi merebut slot acara perseorangan wanita dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Zalina yang baru memenangi perseorangan wanita Kejohanan Asia buat kali ke-10 selain acara berpasangan, bertekad merampas kembali kedudukan itu daripada Emma.

Mahu bersaing secara sihat, Zalina melihat kejayaannya di India baru-baru ini mampu membuka mata jurulatih bahawa dia masih berkemampuan beraksi dalam acara perseorangan dalam temasya pada April tahun depan itu.

"Secara peribadi, acara perseorangan merupakan pilihan saya tetapi bukan saya yang menentukannya.

"Saya akur dengan perancangan jurulatih. Sekiranya diletakkan dalam apa-apa kategori, saya pasti akan memberikan aksi terbaik.

"Sebelum saya mengalah, saya akan membuat jurulatih pening kepala terlebih dahulu," ujarnya.

Dalam temasya KL2017, Zalina beraksi dalam acara berpasangan bersama Auni Fathiah Kamis untuk memenangi pingat emas manakala Emma yang diberi peluang bermain dalam acara perseorangan, juga menggondol emas.

Bagi perseorangan lelaki, Muhammad Soufi Rosli, kejuaraan di India membuktikan dia semakin selesa dalam acara itu.

Namun, Soufi masih belum menganggap itu sebagai jaminan bahawa peluangnya dalam Sukan Komanwel sudah terjamin.

"Rentak dan keyakinan saya semakin baik dalam acara perseorangan. Dalam tempoh enam bulan ini, saya perlu berusaha gigih dengan menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat dalam Sukan Komanwel nanti," katanya.