Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, mahu atlet pecut remaja negara, Muhammad Aqil Yasmin, menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten jika mahu berada dalam barisan olahraga ke Sukan SEA Manila 2019.

Ketika ini, Aqil masih berada dalam senarai program pelapis meskipun bergelar raja pecut Sukma selain meraih pingat emas acara 100 meter Sukan Univeristi ASEAN (AUG).

Bagaimanapun, kejohanan tersebut bukan jaminan untuk Aqil menambat hati Zainal untuk diserap ke skuad olahraga kebangsaan, sebaliknya dia beliau perlu menunjukkan peningkatan prestasinya ketika kelayakan Sukan SEA Manila nanti.

Menurut Zainal, jika Aqil menunjukkan perkembangan konsisten, dia bakal diserap ke skuad senior negara sama ada menerusi acara 100m atau 4x100m.

"Bukan sahaja Aqil tetapi seluruh atlet pecut negara akan bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad negara ke Sukan SEA berdasarkan kejohanan kelayakan yang disertai," katanya.

Aqil mencatatkan masa 10.53s bagi menjuarai saingan akhir 100m lelaki dalam AUG manakala catatan peribadi terbaiknya ialah 10.39s yang dilakukan dalam Sukma.