Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abas, belum menerima sebarang makluman secara rasmi daripada jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim, yang bertentangan pendapat tentang pencalonan David Patrick sebagai ketua jurulatih skuad olahraga yang baru.

Poad sebelum ini menyanggah cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang mahu melantik jurulatih baru dari Amerika Syarikat, Patrick, bagi membimbing barisan atlet pecut dan lari berpagar bermula tahun depan.

Menurut Zainal, keputusan KOM itu dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) selepas Poad menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan jurulatih asing sebelum ini.

"Apa yang boleh kami lakukan adalah membincangkan kembali dengan Poad kerana pada asalnya kami dimaklumkan beliau sendiri mahu bekerjasama dengan jurulatih asing.

"Itu adalah langkah yang diambil KOM dan dipersetujui oleh MSN untuk kami membawa masuk jurulatih dari luar negara," katanya.

Sementara itu, KOM akan mengadakan pertemuan dengan barisan atlet dan jurulatih negara bagi merancang persiapan menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Kami akan mengadakan perjumpaan dengan atlet dan jurulatih bulan depan bagi menerangkan perancangan menghadapi Sukan SEA tahun depan," tambahnya.