"Masih belum memadai," itu rumusan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, mengenai pencapaian kuartet 4x100 meter lelaki negara selepas memecahkan rekod kebangsaan dalam Terbuka Vietnam, semalam.

Persiapan skuad olahraga negara untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur semakin rancak, kali ini dengan persembahan cemerlang di Bandaraya Ho Chi Minh.

Kuartet yang diwakili Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan berjaya merekodkan 39.62 saat.

Catatan itu mengatasi rekod 39.67s yang dilakukan Jonathan, Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy dalam Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Di sebalik perkembangan positif ini, Zainal mencabar mereka untuk melakukan catatan yang lebih baik dalam temasya 19-30 Ogos nanti.

Ini kerana catatan itu masih belum dapat menyaingi juara dua tahun lalu, Thailand, yang merekodkan 39.42s untuk meraih emas.

"Catatan itu belum memadai untuk mengatasi lawan-lawan dalam Sukan SEA. Pesaing yang bakal memberikan cabaran kepada kami adalah Thailand dan Indonesia yang memiliki catatan lebih baik," kata Zainal.

Sementara itu, Zainal masih meneliti kombinasi yang sesuai bagi membawa cabaran negara dalam acara itu dalam Sukan SEA nanti.

Tiga pelari hampir pasti disenaraikan, iaitu Jonathan, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz manakala satu slot lagi menjadi rebutan di antara Haiqal dan Nixson.

"Ketika di India, Nixson berada di dalam kuartet manakala di Vietnam, kami memberikan peluang buat Haiqal untuk beraksi. Buat masa ini, kami masih lagi menilai pelari-pelari yang terbaik untuk beraksi dalam Sukan SEA nanti."

Kredit imej: FB AdrianSprints.com